Perbandingan antara Sistem Epoxy Colour Coating (ECC) dengan Sistem Suntikan Polyurethane (PU Injection)

Perbandingan antara Sistem Epoxy Colour Coating (ECC) dengan Sistem Suntikan Polyurethane (PU Injection)

Dalam bidang pencegahan bocor (waterproofing), terdapat banyak kaedah dan sistem yang diperkenalkan bagi mengatasi masalah kebocoran permukaan lantai tandas, bilik air ataupun bumbung (slab). Ada sistem yang memberi penyelesaian kekal dan ada sistem yang hanya memberikan penyelesaian jangka pendek.

Antara sistem yang diperkenalkan sama ada sistem baru atau kaedah lama ialah penggunaan Simen Sika pada lapisan bawah mozek bilik air atau tandas, sistem Suntikan Polyurethane (PU Injection), sistem Torch-on membrane, kaedah tampalan Silikon, sistem Epoxy Colour Coating (ECC) dan sebagainya.

Dalam penulisan ini kami hanya akan fokus kepada perbandingan antara sistem kami iaitu sistem ECC dan sistem PU Injection. Ini kerana ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut apa perbezaan antara sistem kami dengan sistem PU Injection.

Sebelum kami terangkan dengan lebih lanjut perbezaaan diantara keduanya, elok jika kami terangkan secara ringkas apa itu sistem ECC dan apa itu sistem PU Injection agar anda dapat gambaran yang lebih jelas.

Epoxy Colour Coating (ECC)

ECC adalah singkatan kepada Epoxy Colour Coating (ECC). ECC adalah satu kaedah dimana permukaan lantai sedia ada akan diperbaharui dan ditambah kualiti menggunakan salutan cecair bahan kimia Epoxy dan Color Flakes. Sistem ini yang umumnya dikenali sebagai Epoxy Flake Coating boleh membentuk corak yang pelbagai bergantung kepada pemasangnya. Jika pemasangnya teliti, maka lebih kemas hasilnya.

Gabungan kedua-dua bahan ini akan disalut pada permukaan atas lantai dengan 3 lapisan salutan. Sistem ini boleh membentuk pelbagai corak melalui gabungan 2 warna. Terdapat 23 pilihan warna dan 56 pilihan corak anda boleh pilih mengikut kesesuaian tema bilik air atau tandas anda.

Cecair bahan kimia Epoxy sangat terkenal dengan kekuatan dan ketahanan sebagai salutan menyebabkan ianya semakin terkenal dalam dunia pembinaan.  Selain daripada ketahanannya, cecair Epoxy juga bersifat kalis air atau waterproofing yang bertindak sebagai pencegah kebocoran (leaking).

hacking tiles pecah mozek epoxy floor coating 9
Epoxy Colour Coating (ECC)

Sistem Suntikan Polyurethane (PU Injection)

Manakala, sistem PU Injection adalah singkatan kepada Polyurethane Injection atau sistem Suntikan Polyurethane. PU Injection juga dikenali sebagai PU Grouting. Sistem ini berfungsi untuk mencegah kebocoran bumbung konkrit menggunakan bahan kimia Polyurethane (PU).

PU akan disuntik melalui lubang yang telah ditebuk (point) pada bumbung konkrit menggunakan mesin pam tekanan tinggi. Akibat daripada suntikan bertekanan tinggi tersebut, PU akan mengalir masuk ke rekahan, rongga-rongga atau saluran kebocoran.

Apabila PU ini terkena pada air atau saluran kebocoran yang basah dan lembab, ianya akan bertindakbalas mengembang (5-10 kali ganda daripada saiz asal) menjadi buih (foam) seterusnya akan mengeras untuk menutup rongga dan rekahan, rongga-rongga atau saluran kebocoran tersebut.

Kaedah PU Injection 2 TeamEXR Epoxy Resin Flake Coating Flooring Malaysia
Suntikan Polyurethane (PU Injection)

Melalui penerangan secara ringkas kedua-dua sistem tersebut, dapatlah kita faham bahawa kedua-dua sistem sangat berbeza yang menggunakan teknik aplikasi dan bahan yang tidak sama.

Pada hemat kami, banyak kelebihan sistem ECC berbanding sistem PU Injection. Ini adalah berdasarkan pengalaman kami dan pengalaman pelanggan-pelanggan yang telah mendapatkan khidmat waterproofing daripada kami.

Untuk pengetahuan anda, ramai pelanggan kami yang sebelum mendapatkan khidmat kami telah pun mencuba sistem PU Injection. Namun ramai yang menyatakan bahawa masalah kebocoran (leaking) tetap juga tidak selesai. Sebab itu mereka cuba pula sistem ECC dan hasilnya amat memuaskan hati mereka.

Kelebihan ECC Berbanding PU Injection

Antara kelebihan utama sistem ini berbanding sistem PU Injection ialah sistem ECC diaplikasikan dengan menyalut (coating) pada keseluruhan permukaan lantai bilik air atau tandas yang menutup terus sumber air daripada meresap pada permukaan lantai.

Ini akan menyelesaikan punca utama masalah kebocoran air, sekiranya masalah utamanya adalah pada rekahan atau rongga permukaan lantai.

Berbanding dengan sistem PU Injection, pemasang sistem ini hanya akan menebuk lubang suntikan pada titik-titik (points) tertentu berhampiran dengan kawasan bocor dan kawasan menitis air (disyaki bocor).

Walaupun PU akan mengalir masuk ke rekahan, rongga-rongga atau saluran kebocoran (concrete honey comb), namun ia tidak menutup punca utama air bocor.

Manakala, bahan utama yang digunakan dalam sistem ECC iaitu Epoxy adalah berasaskan pelarut (Solvent Based) dan bukan berasaskan air (Water Based). Ini memberikan ketahanan yang lama kepada sistem ECC.

Berlainan pula dengan bahan utama yang digunakan dalam sistem PU Injection. Bahan PU yang digunakan untuk bertindakbalas dengan air untuk membentuk Foam adalah berasaskan air (Water Based). Ketahanan sistem tersebut tidak lama jika hendak dibandingkan dengan sistem ECC.

Selain itu, tekanan tinggi amat diperlukan untuk mengalirkan PU ke rekahan, rongga-rongga atau saluran kebocoran. Sekiranya tekanan yang dikenakan tidak mencukupi, PU tidak akan memenuhi ruang dan menyebabkan kebocoran berulang. Kesilapan daripada pemasang ini akan menyebabkan sistem ini perlu dilakukan sekali lagi sehingga tiada lagi kebocoran air.

Jika diandaikan bahawa PU yang disuntik itu telah memenuhi ruang kebocoran, kita harus faham bahawa sifat air adalah bendalir yang mengalir dan tidak berada dalam kedudukan statik.

Air yang bocor daripada permukaan lantai bilik air atau tandas aras atas masih mencari “laluan lain” untuk mengalir keluar. Jadi sekiranya punca utama iaitu kebocoran air disebabkan permukaan lantai tidak diselesaikan, kemungkinan untuk air bocor masih lagi tinggi.

Proses menebuk bumbung yang bocor juga akan merosakkan struktur bangunan jika pemasang sistem PU Injection tidak dilatih dengan cekap. Ini kerana banyak lubang yang akan ditebuk disekitar kawasan bocor.

Ini tidak berlaku pada sistem ECC. Sistem ECC tidak memerlukan pemasang untuk mengubah struktur lantai samada dengan memecahkan atau menebuk permukaan lantai.

Pemasang sistem ECC hanya perlu mengasarkan (grinding) permukaan lantai menggunakan mesin grinder supaya salutan epoxy akan melekat dengan lebih kuat dan kukuh pada permukaan lantai. Bahkan sistem ECC ini akan menambahkan lagi kekuatan struktur permukaan lantai dengan aplikasi 3 lapisan Epoxy.

Ketika proses ECC juga, anda tidak perlu risau dengan bunyi bising yang mungkin akan mengganggu jiran tetangga atau orang sekeliling. Bunyi yang terhasil daripada proses grinding tidak terlalu bising dan proses grinding hanya memakan masa selama 10-15 minit sahaja.

Berbanding dengan proses sistem PU Injection, bunyi yang terhasil daripada proses menebuk lubang untuk memasukkan Packers adalah sangat bising. Lagi banyak point yang ingin ditebuk, maka bunyi bising itu akan mengambil masa yang lama.

Jika sistem PU Injection dilakukan didalam rumah, berkemungkinan besar banyak habuk dan debu akan berterbangan ke ruangan rumah anda hasil daripada proses gerudi (drilling).

Bagi sistem ECC pula, debu dan habuk ketika proses grinding adalah sangat sedikit. Pemasang sistem ECC juga akan membasahkan dahulu permukaan lantai sebelum proses grinding dijalankan untuk memastikan habuk dan debu tidak berterbangan.

Jadi berdasarkan perbandingan diatas, banyak kelebihan sistem ECC berbanding sistem PU Injection. Semoga anda dapat memilih kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah kebocoran di rumah anda dan kebocoran tersebut dapat diatasi sepenuhnya.

Boleh baca juga perkongsian kami berkaitan Perbandingan antara Sistem Epoxy Colour Coating (ECC) dengan Kaedah Tampalan Silikon dan Perbandingan antara Sistem Epoxy Colour Coating (ECC) dengan Pasang Mozek Baru dalam artikel yang telah kami sediakan untuk menambah pengetahuan anda dalam bidang Epoxy Coating dan Waterproofing.